

PELUNCUR Amerika Syarikat, Kruger Freddy menawan Putrajaya apabila meragkul gelaran juara kategori Jump lelaki pada Kejohanan Piala Dunia Luncur Air Putrajaya 2009 di Kompleks Sukan Air, Presint 6, Putrajaya semalam.
Freddy beraksi cemerlang apabila mencatat rekod baru dengan lompatan sejauh 69.0 meter.
Peluncur dari Amerika Syarikat itu berjaya memecah rekodnya sendiri 60.9 meter selain mempertahankan gelaran juara yang dimenanginya pada kejohanan sama di Kuala Lumpur tahun lalu.
Dia menewaskan Asher Thomas dari Britain yang menduduki tempat kedua dengan lompatan sejauh 63.2 meter dan Seels Jason juga dari Britain menduduki tempat ketiga (62.2m).
Fladborg June dari Denmark memenangi kategori Jump wanita setelah melakukan lompatan sejauh 48.3 meter.
Tempat kedua dimenangi oleh Mathieu Marion (Perancis) dan Turets Iryna (Belarus) menduduki tempat ketiga.
Bagi kategori Tricks lelaki pula, juara dimenangi oleh Zharnasek Aliaksei dari Belarus diikuti Fortamps Olivier (Belgium) tempat kedua dan Siemers Jimmy (Amerika Syarikat) tempat ketiga.
Untuk kategori, Tricks wanita pula, gelaran juara menjadi milik Aynaud Marion dari Perancis diikuti Berdnikava Natallia (Belarus) tempat kedua dan Nightingale Mandy (Amerika Syarikat) tempat ketiga.
Bagi kategori Slalom lelaki, Parsons Nick dari Amerika Syarikat merangkul gelaran juara diikuti Fisher Jodi (Britain) di tempat kedua dan Faisy Jean Baptiste (Perancis) di tempat ketiga.
Untuk kategori Slalom wanita pula, juara dimenangi oleh Truelove Karen dari Amerika Syarikat diikuti tempat kedua Amade Anais (Perancis) dan Lucine Clementine (Perancis) tempat ketiga.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Dato Raja Zainal Abidin dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman.

No comments:
Post a Comment