Di sana berlangsung Karnival Sukan Untuk Semua yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia serta beberapa agensi kerajaan yang lain.
Riuh sejak pukul 7 pagi lagi, karnival itu berkonsepkan kecergasan secara keseluruhan. Ia meliputi kecergasan fizikal, sosial dan psikologi yang menerima penyertaan daripada semua lapisan masyarakat tanpa mengira batasan umur, taraf ekonomi serta latar belakang pekerjaan.
Pertama kali dianjurkan di taman rekreasi seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), program itu diadakan dengan satu matlamat, membudayakan gaya hidup yang aktif, cergas, sihat dan produktif.
Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan Kementerian Belia dan Sukan, Che Zaharah Abdul Hamid menyatakan program itu juga bertujuan memberi kesedaran kepada belia mengenai kepentingan hidup cergas, di samping menghindari gejala negatif.
"Dengan slogan Cergas 1Belia 1Malaysia, aktiviti gaya hidup yang aktif dan sihat sepanjang hayat dapat mewujudkan suasana interaksi yang mesra serta harmoni antara kaum," jelas Che Zaharah.
Dirasmikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Datuk Fathul Razi Bakri, acara pagi itu dimulakan dengan senam cergas dan lawatan ke gerai-gerai pameran.
Selepas upacara perasmian berlangsung dengan meriah, semua belia mula membuat persiapan untuk melakukan aktiviti sukan yang disediakan pihak penganjur.
Antara pengisian program termasuklah sukan lasak, sukan bermotor, bola keranjang orang kurang upaya, bola jaring dan ujian kecergasan 'Mari Mencuba'.
Bola keranjang OKU
Paling menarik dalam acara yang dinyatakan tadi ialah sukan bola keranjang orang kurang upaya. Di atas gelanggang bola keranjang itu, penonton berpeluang melihat aksi atlet amatur bermain menggunakan kerusi roda.
Turut mendapat penyertaan ramai ialah sukan lasak skate boarding. Aksi berani para peserta menggunakan papan luncur nyata begitu menghiburkan.
Meluncur di atas papan dan palang besi menjadi cabaran buat peserta yang menyertainya. Bagi yang berjaya melakukan aksi hebat, dialah yang mendapat sorakan ramai.
Bagi seorang pengunjung, Norhashimah Mohd Azmi, 28, program seperti itu memberi peluang kepada belia mengetengahkan bakat terpendam masing-masing.
"Tidak mustahil suatu hari nanti, bakat-bakat 'kampung' yang lahir daripada karnival sukan seperti ini bakal menjadi jaguh sukan ternama.
"Kegiatan seumpama ini bukan sahaja berfaedah untuk mengisi masa lapang, malah dapat merapatkan hubungan sesama ahli keluarga dan antara kaum berbeza," ujar Norhashimah.
Sebilangan besar pengunjung yang pertama kali berada di sana memuji kemudahan taman yang baru dilancarkan pada Disember 2007 itu.
Seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam di Ipoh, Nurul Husna Mat Razi, 22, memberitahu dia menghadiri program itu kerana ingin menimba pengalaman, selain tertarik dengan keindahan taman tersebut.
"Banyak kemudahan untuk pengunjung melakukan aktiviti riadah di sini. Menang atau kalah bukan perkara utama. Paling penting semua yang hadir berseronok menyertai program yang disediakan," katanya.
Ketika ditemui, Nurul Husna sedang sibuk memasang kelengkapan untuk merasai pengalaman mendaki dinding.
"Tak ada tempat macam ini di tempat saya (Ipoh), sebab itu saya tidak mahu lepaskan peluang sertai aktiviti sukan lasak yang ada pada hari ini," katanya lagi.
Mari Mencuba
Sambil memakai kelengkapan dia juga sibuk merakam gambar kerana itu merupakan pengalaman pertamanya memanjat dinding di Taman Pudu Ulu.
Tidak kurang menariknya dalam karnival itu ialah acara Mari Mencuba.yang terbuka kepada semua. Acara itu melitputi aktiviti menyumpit, go-kart, fitball dan golf (putting).
Lebih menggembirakan, semua pengunjung yang mengambil bahagian dalam permainan itu menerima cenderahati daripada pihak penganjur atas kesudian mereka menyertainya.
Di gerai-gerai pameran pula, beberapa syarikat pengeluar barangan dan peralatan sukan mempromosikan produk masing-masing dengan pelbagai tawaran istimewa.
Sesuai dengan tema kesihatan dan kecergasan, sesi pemeriksaan kesihatan secara percuma turut diadakan.
Penulis mendapati perjalanan karnival berlangsung dengan lancar. Walaupun hujan renyai seketika, tetapi pengunjung dan peserta yang mengambil bahagian dalam setiap aktiviti langsung tidak berganjak.
Sehingga akhir karnival, rata-rata yang hadir memuji penganjuran karnival yang julung-julung kali diadakan di taman yang dibina dengan kos RM18 juta itu.
Untuk makluman, Taman Pudu Ulu yang mempunyai keluasan 26.7 hektar itu merupakan sebuah taman rekreasi awam moden.
Ia terletak berdekatan dengan kawasan perumahan seperti Taman Miharja, Taman Maluri, Taman Cheras, Pandan Perdana dan Taman Shamelin Perkasa, selain mudah dikunjungi oleh penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pudu Ulu.
No comments:
Post a Comment