

PETALING JAYA, 28 Okt (Bernama) -- Naza Kia Sdn Bhd menyasar menjual 6,000 unit model baharu Picanto tahun depan, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya SM. Nasarudin S.M Nasimuddin.
Beliau berkata model tersebut sudahpun berada di semua bilik pameran sah Naza Kia di seluruh negara.
"Kereta itu sesuai bagi kereta kedua dan untuk penggunaan di bandar," katanya kepada pemberita selepas pelancaran model Picanto di sini, Rabu malam.
Nasarudin berkata model tersebut bermula dengan harga RM44,500 atas jalan bagi model spesifikasi standard dan RM46,800 di atas jalan bagi spesifikasi tinggi.
Picanto yang merupakan model paling laris dengan hampir 900,000 unit dijual di seluruh dunia dan lebih 12,000 terjual di Malaysia, menawarkan pelanggan gaya yang lebih kontemporari.
Kereta dengan enjin empat silinder 1.1 liter itu dipasang di kilang pengeluaran automotif Naza di Gurun, Kedah.
Beliau berkata syarikat itu merancang memperkenalkan model 4x4, kereta sport model C dan model-model baharu lain tahun depan.
Nasarudin berkata syarikat itu akan terus bekerjasama rapat dengan Kia.
Mengulas mengenai Kajian Semula Dasar Automotif Negara, beliau berkata langkah itu akan merangsang pertumbuhan industri automotif tempatan.
Ditanya sama ada penghapusan Lesen Import (AP) akan memberi kesan kepada Naza, beliau berkata operasi kumpulan itu menjangkaui perniagaan AP.
"Kami telah mempelbagaikan perniagaan kami. Kami mempunyai cabang pembuatan, pembangunan hartanah, makanan, hotel dan lain-lain," katanya.
Beliau berkata syarikat itu akan menumpukan kepada perniagaan hartanah.
Ketika ini, beliau berkata pembuatan menyumbang 70 peratus kepada pendapatan kumpulan.
-- BERNAMA

No comments:
Post a Comment